Pages

We make a living by what we get, but we make a life by what we give - Winston Churchill

Friday 30 March 2018

Bercuti Di Iran - Mac 2018

Negara Iran masuk dalam senarai target percutian kami sejak ternampak sebatang jalan berdekatan dengan Sogo, Kuala Lumpur diberi nama "Jalan Esfahan". Rupanya, bandaraya Kuala Lumpur adalah "bandar bersaudara/sister city" dengan bandar Esfahan, Iran.


Hasrat untuk ke Iran semakin menjadi kenyataan apabila kami mengambil langkah pertama, menempah tiket penerbangan AirAsia dua hala KUL-IKA (Imam Khomeini International Airport) se- awal minggu pertama bulan Disember 2017 lagi.


Tarikh penerbangan yang dibeli ialah pertengahan bulan Ogos 2018, tetapi semasa berada di Mekah tempoh hari, kami menerima mesej pembatalan penerbangan dari pihak AirAsia:-


Sekembalinya dari Umrah-Ziarah Baitulmaqdis (Jordan - Palestin - Madinah - Mekah) pada 16 Februari 2018, kami terus menukar tarikh penerbangan ke Tehran,  kepada tarikh lebih awal iaitu pada 18 Mac hingga 26 Mac 2018, minggu percutian sekolah. 

Masa yang agak terhad, kami pun belum google apa-apa lagi tentang Iran. Jadi kami terpaksa lupakan percutian DIY (sepertimana yang sering kami lakukan) dan terus saja mengambil ground pakej.  Jiran kami yang pernah ke Iran pada tahun lepas memberi  nombor kontak agen di sana. Bila di-google, review pun bagus tentang Mr Hojat.  Kami pun terus menghubungi melalui whatsapp, Mr Hojat Sadeqzadeh (+98 913 311 0020).

Kami pula dinasihati oleh Hojat supaya menziarahi Iran sebelum perayaan tahun baru Iran, Nowruz, yang jatuh pada 21 Mac 2018. Nowruz, adalah perayaan terbesar Iran di mana sekolah dan universiti akan bercuti selama 2 minggu  di serata Iran dan mereka akan keluar bercuti.  Jalanraya akan sesak dan hotel pun hampir penuh.


Hasrat kami untuk menjelajahi bandar-bandar Iran dengan pengangkutan awam antara bandar (bas dan keretapi) tidak kesampaian kerana semua tiket-tiket telah habis terjual/sukar didapati melalui online di musim perayaan Nowruz tersebut.


Kami tidak mengambil masa lama untuk confirmkan itinerari, supaya Hojat segera dapat membuat tempahan hotel dan tiket penerbangan sehala dari bandar Tehran ke Shiraz. Jarak di antara kedua bandar tersebut adalah melebihi 900km (penerbangan sehala mengambil masa selama 1jam 15minit). Pada asalnya Hojat menyarankan keretapi untuk ke Shiraz tetapi malangnya tiket telah habis terjual. Untuk lain-lain perjalanan (Shiraz - Isfahan - Kashan - IKA Airport) menggunakan kereta untuk berempat, bersama pemandunya sekali.

Bayaran pendahuluan 10% dibayar secara paypal dan bakinya dijelaskan semasa berjumpa Hojat di Isfahan. Harga pakej (tiket penerbangan sehala ke Shiraz, hotel-hotel dan sewa kereta bersama pemandu) adalah dalam USD.

Setelah berbincang melalui whatsapp, akhirnya itinerari percutian Iran kami seperti berikut:-
  • Day 1 : 18 Mac (Ahad) 7:05pm, KUL-IKA (AirAsia X); Movarid Hotel (bilik keluarga)
  • Day 2 : Tehran / Tehran - Shiraz (Aseman Airlines); Aryo Hotel (2 bilik)
  • Day 3 : Shiraz
  • Day 4 : Shiraz - Persepolis - Necropolis - Isfahan; Setareh Hotel (bilik keluarga)
  • Day 5 : Isfahan
  • Day 6 : Isfahan
  • Day 7 : Isfahan - Abyaneh - Kashan; Negin Traditional Hotel (bilik keluarga)
  • Day 8 : Kashan - IKA
  • Day 9 : 26 Mac (Isnin), 2:05am, IKA-KUL (AirAsia X)
Hojat dan anaknya, Emad (+98 921 135 4495) menguruskan agensi percutian kepunyaaan mereka sendiri, iaitu Grand Persia (http://www.grand-persia.com/).


Setelah berlakunya Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979, Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran. Ini menyulitkan urusniaga melibatkan Iran. Boleh dikatakan hampir keseluruhan urusniaga di Iran menggunakan pakai matawang Iranian Riyals (IRR) yang tidak dapat dibeli di Malaysia. Kita perlu membawa matawang asing (Ringgit Malaysia juga boleh dibawa) untuk ditukarkan kepada IRR di Iran. Kad kredit tidak dapat digunakan, kecuali apabila membeli barang-barang mahal (USD200 ke atas) di gedung-gedung tertentu.

Hanya kad kredit/debit Iran sahaja boleh digunakan di Iran. Kami dikhabarkan bahawa para pelancong kini boleh memohon kad debit di airport. Sila rujuk DI SINI dan DI SINI. Katanya, ini adalah suatu langkah baru yang diperkenalkan sejak tahun lepas bagi memudahkan urusniaga.

Dengan adanya kad ini, kita tidak perlulah membawa bersama berkepuk-kepuk IRR kerana kadar pertukaran matawang sewaktu kami pergi adalah lebihkurang US$1 bersamaan dengan IRR49,000. Sekiranya kita melihat kadar pertukaran di internet, kadar pertukaran pada 29/3/2018 adalah lebihkurang US$1 = IRR37,750 dan RM1 = IRR9,750. Mengikut kadar pertukaran internet ini IRR100,000 adalah lebih kurang RM11.60 (US$3.00). Kami tidak tahu nilai pertukaran RM-IRR di Iran kerana kami hanya menukar USD sahaja. Ringgit kami hanya bawa sebagai standby.


Note warna hijau (IRR100,000) adalah yang paling banyak digunakan. 1 helaian note IRR100,000 bernilai lebihkurang RM12. Untuk memudahkan imaginasi, cuba bayangkan anda hanya membawa kepingan note RM10 untuk berurus-niaga di Iran.


Kami dapati penukaran matawang (USD-IRR) di airport (IKA) adalah lebih baik (menguntungkan) berbanding dengan penukaran matawang di bandar. Oleh itu sekiranya anda tiba di IKA, naik dulu ke balai berlepas untuk menukar wang. Hanya terdapat satu kaunter penukar wang sahaja di IKA. Semasa sampai, kami nampak macam kaunter bank yang boleh menukar wang (sewaktu tiba sebelum melepasi imigresen di aras ketibaan), tetapi tidak pula nampak dipaparkan kadar pertukaran.

Sebagai contoh, tukaran di bazaar di Tehran dan Isfahan yang kami tukar adalah USD1 = IRR 48,000, manakala tukaran di airport pula (seperti yang dipaparkan) ialah USD1 = IRR49,850. Ada perbezaan lebihkurang RM180 apabila menukar USD1,000 kepada IRR.

Satu lagi yang perlu diambil perhatian adalah urusniaga di Iran akan disebut dalam "Toman" bukan Riyals. Buang satu "0", iaitu 100,000 Riyal = 10,000 Toman. Agak mengelirukan sekiranya tidak biasa berurusniaga di Iran.

Daripada percutian kami di Iran ini, pengalaman ringkas kami untuk setiap bandar yang dilawati adalah:-

Tehran : Bandar sibuk, terutamanya di musim percutian. Kami sarankan tempat-tempat seperti Golestan Palace, Azadi Tower, Jewellery museum, antara lainnya, dijadikan tempat untuk dilawati.

Shiraz & Persepolis : Bandar ini mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dilawati. Jangan lepas untuk melawati Nasirolmok sebelum tengahari sewaktu matahari sedang naik. Persepolis juga disarankan.

Isfahan : Kecuali Imam mosque, bagi kami, tempat-tempat lawatan di bandar Shiraz adalah lebih menarik. Kami membuat saranan ini kerana anda perlu bajet tempat-tempat untuk menziarah kerana hampir kesemua tempat lawatan dikenakan tiket yang berharga IRR200,000 seorang (lebihkurang RM20 seorang). Rakyat Iran membayar harga tiket masuk jauh lebih murah dari pelancong.

Membeli belah adalah lebih baik dilakukan di Isfahan. Shiraz agak mahal, manakala barangan makanan (pistachio, kekacang dsb) lebih murah di Tehran. 

Kashan & Abyaneh : Dalam perjalanan ke Kashan dari Isfahan, Abyaneh, sebuah perkampungan lama yang menarik untuk dikunjungi. Di Kashan cubalah ke Nushabad Underground city.

Penukaran tarikh percutian dari Ogos, dipercepatkan ke bulan Mac ada juga baiknya kerana tempat-tempat yang kami ziarah itu, cuacanya nyaman (dalam 20 C), permulaan musim spring. Walaupun begitu, cuaca terasa semakin panas apabila kami tiba di Kashan (dalam 30 C). Kalau bulan Ogos, cuaca menjadi lebih panas.


Kami akan muatkan nota-nota percutian kami untuk setiap bandar/tempat yang sempat kami lawati dalam percutian Iran selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Facebook Badge

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...